
ABDULLAH HASSAN: DEMI MEMANDAIKAN BANGSA (KK)
Biografi Abdullah Hassan ini merupakan buku yang dihasilkan melalui projek Siri
Pemikiran Tokoh Bahasa Melayu anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Projek ini bertujuan untuk merakamkan dan menghargai jasa tokoh bahasa yang
memberikan sumbangan kepada pemerkasaan bahasa Melayu di negara ini.
Buku Abdullah Hassan: Demi Memandaikan Bangsa ini mengandungi lima bab
yang berkisar tentang sejarah hidup, pengalaman, hasil sumbangan dan jasa,
serta pemikiran dan pandangan Abdullah Hassan terhadap dunia ilmu yang
berkaitan dengan bahasa Melayu dan juga bahasa-bahasa serumpun. Sejarah
hidupnya yang bermula sebagai anak desa sehinggalah diangkat sebagai
Profesor Emeritus banyak memberikan pengajaran dan pedoman kepada
generasi pada hari ini. Perjalanan akademik beliau bagi menyebarkan ilmu
kebahasaan di dalam dan luar negara amatlah bermakna. Pandangan dan
pemikiran beliau yang sentiasa peka akan peristiwa dan kebijaksanaan tokoh
ilmuwan seluruh dunia juga memberikan idea yang menarik untuk didalami dan
dikaji. Pandangan dunia yang begitu meluas dengan harapan yang begitu tinggi
demi memandaikan bangsa menjadikan beliau seorang tokoh yang disegani dan
dihormati, bukan sahaja dalam kalangan anak didiknya, bahkan juga dalam
kalangan tokoh bahasa di dalam dan luar negara. Buku ini sesuai untuk bacaan
dan rujukan semua golongan yang berminat untuk mengkaji bahasa dan
pemikiran tokoh ilmuwan bahasa Melayu.
NASKHAH IKHLAS


