PERIHAL KATA DALAM BAHASA MELAYU
Kata merupakan unit terkecil yang mempunyai makna lengkap dan dapat
wujud sebagai bentuk bebas dalam ayat. Kata terbina daripada sejumlah bunyi,
fonem dan suku kata. Kata juga terdiri daripada morfem bebas atau terbina
daripada gabungan antara morfem terikat dengan morfem bebas dan antara
morfem terikat dengan morfem terikat. Kita dapat menganalisis kata dari segi
struktur, bentuk, golongan dan fungsi. Empat komponen ini saling berkait dan
perlu dikupas lapis demi lapis secara teliti. Hal ini menyajikan himpunan ilmu
yang kaya dan menarik untuk dikaji.
Bahasa Melayu sebagai satu daripada bahasa utama di dunia menawarkan
potensi yang menarik untuk dikaji dan didalami agar bahasa tersebut terus
menjadi mutiara yang memukau hati dan wangian yang terus merangsang
minda para penggunanya. Dengan usaha berkesinambungan yang tidak
mengenal penat lelah, sudah pastilah bahawa bahasa Melayu akan semakin
gemerlap sinarnya di persada dunia.
Buku Perihal Kata dalam Bahasa Melayu ini menyajikan sejumlah rencana
analisis terkini tentang tatabahasa bahasa Melayu. Semua rencana tersebut
sudah disiarkan dalam ruangan Cemerlang Bahasa, portal JendelaDBP atau
dimuatkan dalam majalah Pelita Bahasa terbitan DBP. Himpunan rencana
tersebut telah disusun semula dan dikemaskinikan untuk dijadikan sajian yang
bermakna kepada para pembaca yang budiman.
Price range: RM18.00 through RM26.00






