TINTA BUDAYA DAN KOMUNIKASI
Budaya dan komunikasi merupakan elemen yang saling berkait antara satu sama lain dalam kehidupan harian manusia, dan saling berkomunikasi untuk memenuhi keperluan hidup. Aspek kebudayaan itu merupakan hasil suatu ciptaan, akibat dari wujudnya interaksi komunikasi manusia dalam kehidupan bersama kelompoknya. Juga dikatakan dalam kebudayaan itu memerlukan proses komunikasi dalam pelbagai peringkat kehidupan.
Sifat budaya itu kompleks dari segi pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral, hukum, adat istiadat dan amalan kebiasaan yang diperoleh dari usaha individu dan kelompok besar dari generasi ke generasi. Diketahui bahawa aspek komunikasi dalam kebudayaan boleh dilihat dalam bentuk apa-apa sahaja dan tidak terikat pada waktu, tempat, situasi dan keadaan apa-apa sekalipun. Demikian juga, kebudayaan itu telah diwariskan melalui pelbagai proses pembelajaran yang dibantu secara langsung dan tidak langsung melalui proses komunikasi secara formal dan tidak formal.
Secara luarannya, budaya itu boleh difahami dengan jelas dan mudah dikenal pasti seperti bahasa, pakaian, makanan dan seni bina. Manakala secara dalamannya pula budaya itu tidak boleh dilihat dengan mata kasar dan sukar dikenal pasti. Peranan dan pengaruh budaya dalam komunikasi jelas tidak dapat disangkal dan mempunyai hubungan timbal balik. Maklum balas terhadap budaya itu terdiri daripada cara berkomunikasi, keadaan komunikasi, bahasa dan gaya bahasa serta tindak-tanduk secara bukan verbal.
Perbezaan sesuatu budaya mempamerkan perbezaan tingkah laku dalam komunikasi melambangkan nilai budaya dan prinsip yang dipegang. Nilai yang dipegang akan membentuk tingkah laku yang akhirnya akan terbawa dalam proses komunikasi. Oleh itu, hubungan budaya dan komunikasi jurangnya sangat rapat. Perilaku dalam komunikasi dibentuk berdasarkan budaya yang dimiliki menunjukkan bahawa perilaku terikat dengan budaya.
Price range: RM20.90 through RM26.35


