NOTA TANJUNG: MENELUSURI SOSIOPOLITIK BUMI MALAYSIA
Buku ini merupakan koleksi makalah yang diterbitkan dalam majalah Dewan Masyarakat sejak tahun 2004 hingga tahun 2020. Rampaian makalah yang terpilih ini meninjau topik dan isu semasa yang bersesuaian dengan tempoh masa penulisannya. Walaupun begitu, atas kesedaran bahawa pengetahuan dan analisis serta kupasan ke atas sesuatu isu itu dapat menyebar ilmu dan perbincangan berterusan yang merangkumi dimensi yang pelbagai, maka penerbitan buku ini diharap dapat memberikan maksud dan makna pasang surut alam rencam bumi Malaysia; ada zaman kegemilangan dan ada zaman kemerosotan di balik saga sosiopolitik tanah air. Hal ini sentiasa tidak terlepas daripada isu kepimpinan. pengurusan, pentadbiran, politik kepartian dan perpaduan. Sejarah, politik, sosial dan pentadbiran serta pembangunan menjadi tema am yang menjadi tumpuan semasa.
Kumpulan makalah buku ini juga mendasari isu tadbir urus parti gabungan besar Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional. Tiga acuan berbeza, namun memastikan kesinambungan warisan kepimpinan terpelihara di bawah amalan demokrasi negara. Prinsip tersebut juga dihubungkaitkan dengan isu lain yang barangkali akan menjadi minat pembaca dari pelbagai kumpulan sasar kerana mengurus negara majmuk, pelbagai dan aneka ragam ini memerlukan kemuafakatan dan mampu mendepani cabaran melalui penyelesaian yang terus mempertahankan kearifan lokal, karakter, budaya politik, sosial dan ekonomi dengan cara hidup acuan kita sendiri.
RM33.00

